Assalamualaikum dan hai warga blog !
Hari ini aku nak berkongsi serba sedikit mengenai temuduga yang aku lalui pada 24 Februari 2021 sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP Gred 41) atau dengan bahasa mudah sebagai seorang guru. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana telah lulus dengan jayanya dan dilantik menjadi warga pendidik pada tahun ini.
Temuduga pada tahun ini amat berbeza sekali dengan ambilan pada tahun sebelumnya kerana dilakukan dalam aplikasi secara atas talian iaitu menggunakan Cisco Webex disebabkan kekangan wabak covid 19 yang melular di Malaysia. Untuk pengetahuan semua, temuduga ini dilakukan sepenuhnya oleh Suruhjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk melantik graduan pendidikan untuk menjadi seorang guru yang berkualiti.
Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda tersenarai sebagai calon temuduga tersebut?
SEBELUM SESI TEMUDUGA BERLANGSUNG:
Ingin aku jelaskan mengenai aplikasi Cisco Webex. Aplikasi ini akan digunakan dalam sesi temuduga nanti dan anda perlu memuat turun aplikasi ini di dalam laptop atau telefon. Aku sarankan guna laptop kerana mudah untuk dikendalikan dan senang untuk kita berinteraksi dengan panel penilai. Penggunaan Cisco Webex ini tidaklah susah kerana kita hanya perlu pastikan kamera dan audio yang digunakan sahaja berada dalam keadaan baik. Selain itu, pastikan rangkaian yang digunakan berada dalam keadaan stabil. Diingatkan juga supaya mendaftar masuk ke dalam akaun aplikasi ini menggunakan email yang formal dan nama penuh anda.
Pelantikan menjadi seorang guru yang berkualiti bukanlah mudah kerana setiap daripada kita mempunyai kelebihan tersendiri. Jadi apa yang melayakkan anda untuk menjadi guru yang berkualiti? Pertama sekali ingin aku tegaskan mengenai penguasaan ilmu dalam bidang yang diajar atau yang dimohon ketika itu hendaklah kukuh dan baik. Aku jelaskan secara umum apa yang perlu kita tahu sebelum mengikuti temuduga guru ini adalah berkaitan dengan komponen-komponen yang ada dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah/Rendah (KSSM/KSSR), Rancangan Pembelajaran Harian (RPH) dan pedagogi yang sesuai kepada pelajar masa kini.
Selain itu, anda semua perlu bersikap terbuka sekirannya diberikan soalan untuk menguji tahap peka anda terhadap isu semasa yang berlaku sekarang. Anda jangan hanya tertumpu kepada isu dalam bidang pendidikan sahaja tetapi isu berkaitan dunia juga turut ditekankan. Apa yang aku rasa menarik untuk berkongsi adalah berkaitan dengan isu pembelajaran pelajar di rumah iaitu home based learning, topik-topik berkaitan penularan covid-19 termasuk vaksin, isu ekonomi negara ketika wabak berlaku dan hal-hal berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia PPPM (2013-2025). Jadi anda perlu bijak dalam memastikan setiap idea yang bakal anda berkongsi kepada para panel supaya tidak terlalu umum. Sebaliknya perlukan sesuatu yang ringkas tapi padat dengan input yang berguna.
Dalam senarai semak dokumen pula pastikan setiap item yang diminta diwajibkan hantar sebelum tarikh penghantaran tamat kerana disini anda akan dinilai sekali lagi sama ada layak atau tidak dalam proses temuduga berlangsung nanti. Secara umum dalam senarai semak anda wajib mengemukakan sijil ijazah pendidikan atau ikhtisas pendidikan kerana bagi mereka yang tidak mempunyai kelayakan tersebut tidak akan ditemuduga dan akan digagalkan.
SEMASA SESI TEMUDUGA BERLANGSUNG:
Anda dikehendaki memakai pakaian mengikut etika pemakaian seorang guru kerana disitu anda dinilai secara fizikal untuk dilantik menjadi seorang guru. Baju seperti blazer adalah wajib kepada calon lelaki dan perempuan aku tak pasti kerana ada yang berpendapat baju kurung tidak sesuai dipakai bersama blazer kerana baju kurung sudah dikira sebagai pakaian formal. Akan tetapi aku sarankan calon perempuan sediakan kerana ada sesetengah urusetia meminta anda pakai sebelum sesi temuduga berlangsung.
Dari pengalaman aku sendiri, pastikan panel nampak jelas bahagian muka anda dan kedudukan badan hendaklah separuh badan serta pastikan tangan tidak menongkak dagu atau jika perlu boleh diletakkan atas paha atau meja dalam keadaan sopan. (cadangan sahaja) Selain itu, pastikan mata sentiasa lihat kamera untuk memastikan anda sentiasa peka dengan soalan yang diajukan oleh panel. Begitu juga dalam sesi menjawab soalan, pastikan anda yakin dalam setiap perkataan yang diucapkan dan pandangan perlu ke arah kamera.
- Peka dengan soalan yang diajukan
Setiap soalan yang diajukan kebiasaanya secara giliran. Dalam satu sesi temuduga akan ada beberapa calon lain dan panel akan mengajukan setiap calon soalan yang berbeza. Jadi aku nasihatkan supaya setiap sesi soalan panel ajukan kepada calon lain, anda perlu sentiasa bersiap sedia kerana kebanyakan soalan akan berkait antara satu sama lain. Disini aku ingatkan setiap sesi calon lain menjawab anda tidak dibenarkan mencelah atau membuka audio untuk berinteraksi sekali. Setiap calon hanya boleh berinteraksi dan membuka audio semasa sesi anda berlangsung atau ketika disoal oleh panel sahaja.
- Tidak boleh mengambil gambar atau merakam video
Anda sama sekali tidak dibenarkan untuk mengambil gambar atau merakam video semasa sesi temuduga berlangsung. Ini merupakan arahan yang wajib diikuti dan anda boleh digagalkan serta merta sekiranya melanggar arahan tersebut.
Bahagian ini ingin aku kongsikan mengenai dialek yang biasa digunapakai oleh masyarakat kita. Jadi disini aku ingin tegaskan calon tidak boleh sama sekali menggunakan dialek untuk menjawab soalan yang ajukan kepada anda. Ini kerana kita ditemuduga oleh panel yang berbilang bangsa dan negeri, amat kesal sekiranya anda gagal disebabkan penggunaan tatabahasa yang tidak baik dan tidak jelas. Ingin menjadi seorang guru perlukan bersikap terbuka untuk dan mahir dalam menguasai bahasa melayu yang betul.
SELEPAS SESI TEMUDUGA BERAKHIR
Selesai sesi temuduga, anda dinasihatkan supaya peka dengan pengumuman yang dilaksanakan oleh urusetia. Kebiasaan urusetia meminta anda supaya tidak mendedahkan apa-apa maklumat berkaitan temuduga kepada orang awam termasuk dalam bentuk video atau gambar. Hal ini kerana sesi temuduga anda adalah secara sulit dan sepenuhnya milik Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Akhir kata, aku ingin ucapkan semoga ada sinar buat para graduan pendidikan dalam mengikuti sesi temuduga bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP Gred 41) dan mendapat lantikan tetap sebagai seorang guru. Selamat maju jaya dan sentiasalah berdoa kepada Allah s.w.t supaya urusan kita semua dipermudahkan dengan baik. Amin!
Nnak tya masa IV Ada mkiccro teaching ke?
BalasPadamMicrotech untuk subjek tertentuk sahaja. Cth, matematik ada buat tapi dlm masa 2-3 minit sahaja merangkumi rangka set induksi. Calon perlu terangkan apa yg perlu dilaksanakan ketika set induksi.
BalasPadam